Limpahan Air di Menara Kinabalu: 2,588 Meter Persegi Kawasan Pejabat Terjejas Dari...

Limpahan Air di Menara Kinabalu: 2,588 Meter Persegi Kawasan Pejabat Terjejas Dari Aras 11 Hingga 7

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebanyak 2,588 meter persegi kawasan pejabat di Blok A, Menara Kinabalu dilaporkan dilanda limpahan air dalam satu insiden yang berlaku pada Rabu, 30 April 2025, kira-kira jam 12.25 tengah hari.

Menurut kenyataan rasmi daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, limpahan air itu berpunca daripada kerosakan komponen Float Valve pada tangki sistem pencegah kebakaran yang terletak di aras 11 bangunan tersebut.

“Kerosakan itu menyebabkan air dipam masuk secara automatik dan berterusan ke dalam tangki tanpa henti selama 45 minit, dipercayai akibat kelewatan pihak pengurusan fasiliti, Sinar Uni-Resources Sdn. Bhd., menutup operasi pam air. 

“Akibatnya, sekitar 34,000 liter air telah melimpah dan membanjiri ruang pejabat dari aras 11 hingga ke aras 7, termasuk kawasan lif dan tangga kecemasan.

“Antara kawasan paling terjejas ialah Aras 11 (864 m²), Aras 10 (720 m²), Aras 9 (580 m²), Aras 8 (290 m²) dan Aras 7 (145 m²). Insiden itu juga memaksa penutupan serta-merta terhadap lapan buah lif bangunan sebagai langkah keselamatan dan pencegahan kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, satu lif kakitangan telah disahkan selamat untuk digunakan pada jam 6.00 petang hari yang sama, manakala satu lif kargo kekal beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh kejadian.

Kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan sepenuhnya pada jam 11.30 malam, 30 April.

Tambah kenyataan itu lagi, meskipun kejadian tersebut menjejaskan sebahagian besar ruang pejabat, perkhidmatan jabatan-jabatan kerajaan yang beroperasi di Blok A masih berjalan seperti biasa tanpa gangguan.

JKR Sabah turut memaklumkan bahawa siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden dan memastikan tiada unsur kecuaian berlaku. Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan kejadian sama daripada berulang pada masa hadapan.