KUALA LUMPUR: Kugiran retro moden popular tanah air, MASDO, menyambut ulang tahun ke-10 mereka dalam industri muzik dengan satu acara eksklusif penuh kejutan dan nostalgia.
Bertemakan “Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap”, majlis istimewa itu berlangsung meriah pada malam 30 April 2025 di Saloma, Kuala Lumpur turut berjaya menghimpunkan lebih 200 peminat setia serta rakan media.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, beberapa hari sebelum acara berlangsung, peminat setia MASDO dikejutkan dengan hantaran kriptik di laman Instagram anggota kumpulan – Ali Sariah, Asmawi, dan Putu Ceri – yang seakan memberi bayangan tentang pengumuman penting.
Teka-teki itu akhirnya terjawab dalam suasana eksklusif dan penuh simbolik ketika perjumpaan tersebut berlangsung.
Sebagai penghargaan kepada sokongan tidak berbelah bahagi peminat sepanjang sedekad ini, MASDO mempersembahkan mini showcase istimewa yang membawakan lagu-lagu malar segar mereka.
“Antara lagu yang menghangatkan suasana termasuk “Dinda”, “Lautan Asmara”, “Janji Manis”, “Bunga”, dan “Berchanda di Malam Indah”, yang turut menyaksikan para hadirin menyanyi bersama dalam suasana penuh emosi dan kenangan,” katanya.
Pengumuman Konsert Gergasi ‘Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun’
Kemuncak acara hadir apabila MASDO mengumumkan konsert ulang tahun ke-10 mereka yang diberi judul ‘Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun’, yang bakal berlangsung pada 30 Ogos 2025 di Idea Live Arena KL @ 3 Damansara.
Lebih menarik, MASDO menjadi artis pertama yang akan membuat persembahan di lokasi konsert terbaru Malaysia itu, yang mampu menampung sehingga 7,000 penonton.
Pengumuman ini dibuat secara dramatik dengan penurunan kain yang menutupi bangunan MATIC, diiringi oleh letupan bunga api sebagai simbolik permulaan kepada sambutan berskala besar.
Tiket konsert mula dibuka untuk pra-pendaftaran dari 30 April hingga 1 Mei dengan harga istimewa Rockzone Early Bird – RM128. Untuk jualan umum, harga tiket adalah RM148 (Rockzone, Free Standing) dan RM198 (Cat 1, Free Seating).
Konsert ulang tahun MASDO ini dianjurkan oleh Hitman Solutions, syarikat yang mempunyai lebih 15 tahun pengalaman dalam penganjuran konsert tempatan dan antarabangsa. Menurut Rohit Rampal, CEO dan pengasas Hitman Group, projek ini adalah tanda sokongan kepada bakat tempatan.
“Dengan pengalaman, bakat dan legasi MASDO yang tidak pernah pudar sepanjang satu dekad ini, ulang tahun ke-10 mereka perlu diraikan dengan penuh meriah. Kami yakin konsert ini bakal meraih sambutan luar biasa, bukan sahaja daripada peminat lama tetapi juga yang baharu,” katanya dalam sidang media selepas acara.
Acara ini bukan sahaja memperingati kejayaan MASDO dalam membina nama sebagai pelopor muzik retro moden Malaysia, tetapi juga menjadi platform untuk memperkukuh hubungan mereka dengan peminat yang sentiasa memberi sokongan sejak hari pertama.