WASHINGTON, AS – Negara Russia mungkin boleh menyerang Ukraine dalam tempoh beberapa hari atau minggu, dakwa Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, menurut AS, ketegangan diantara kedua-dua negara tersebut boleh dielak dengan memilih jalan diplomatik.
Memetik laporan Reuters, keadaan kedua-dua negara tesebut kini berada di ambang perang kata Penasihat keselamatan kebangsaan Rumah Putih, Jake Sullivan.
“Pada bila-bila masa dari sekarang, Russia boleh mengambil tindakan ketenteraan terhadap Ukraine atau mungkin beberapa minggu lagi…
“Sebaliknya, Russia juga boleh memilih untuk mengambil jalan diplomatik,” katanya dalam program temubual televisyen, Fox News Sunday.
Sullivan membuat kenyataan itu selepas dua pegawai AS pada Sabtu lalu berkata, Russia yang merampas Crimea daripada Ukraine pada 2014 menempatkan kira-kira 70 peratus kuasa tempurnya di sempadan.
Tindakan itu dipercayai menjadi persediaan bagi melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine.
Sullivan berkata, tindakan yang mungkin dilakukan Russia termasuk merampas wilayah Donbass yang kini dikuasai Ukraine, di mana pemisah disokong Russia merampasnya dari kawalan kerajaan Ukraine pada 2014 atau serangan siber.
Katanya, Russia boleh bertindak seawal hari ini atau mungkin mengambil masa berminggu lagi.
“Kami percaya terdapat kemungkinan sangat jelas yang Vladimir Putin (Presiden Russia) akan mengarahkan serangan ke atas Ukraine…
“Beliau sudah meletakkan dirinya dalam kedudukan dengan penempatan tentera supaya dapat bertindak agresif terhadap Ukraine pada bila-bila masa sekarang,” tambah Sullivan.
Ukraine, yang cuba mendapatkan lebih banyak bantuan ketenteraan, turut berusaha untuk meredakan kebimbangan terhadap pencerobohan itu.
Menteri Luar, Dmytro Kuleba, semalam menggesa orang ramai supaya tidak mempedulikan “ramalan apokaliptik”, mengatakan negara itu kuat dan mendapat sokongan antarabangsa yang belum pernah berlaku sebelum ini.





