Bekalan Air Dua Telaga Tiub UMS Bermula Penghujung Mac

Bekalan Air Dua Telaga Tiub UMS Bermula Penghujung Mac

0
SHARE
Kasim
Kasim ketika ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Bekalan air dari dua telaga tiub Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan mula disalurkan ke bangunan-bangunan di institusi berkenaan pada 26 Mac ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata jumlah tersebut adalah daripada sembilan telaga tiub yang dibina bagi mengatasi masalah bekalan air di universiti berkenaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada penghujung April ini.

“Daripada jumlah tersebut, lapan telaga tiub akan menjana sekurang-kurangnya satu juta liter air sehari dan berupaya menampung keperluan 22,000 warga universiti.

“Uji kaji tentang kandungan air juga sudah dikenal pasti dan proses pengagihan air ke bangunan serta kolej-kolej kediaman turut giat dijalankan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Sungkai Perdana Universiti Malaysia Sabah 2024, pada Isnin.

Menurut Kasim, bagi memastikan keperluan air mencukupi pihak UMS juga dibekalkan sebanyak empat juta liter air satu hari berbanding sebelum ini iaitu sebanyak 1.8 juta liter air sehari.

“Ia merupakan hasil perbincangan antara pihak kerajaan negeri dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan setakat beberapa minggu lepas keperluan air warga UMS dalam keadaan mencukupi,” ujarnya.

Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian sumbangan oleh Etiqa Family Takaful Berhad kepada UMS sebanyak RM 80 ribu bagi tujuan pembangunan koleksi Islamic Corner di Perpustakaan UMS di samping sumbangan kewangan berjumlah RM 10,000 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) kepada universiti tersebut.

Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni menyempurnakan penyampaian sumbangan zakat UMS melalui Tabung Amanah Zakat UMS kepada 16 penerima yang terdiri daripada lapan kakitangan dan lapan pelajar.

Turut berlangsung, penyerahan sumbangan bantuan pengajian berjumlah RM 64 ribu daripada Tabung Haji kepada 16 pelajar Tahun 1 dan 2 yang terpilih mengikuti Program Profesional Huffaz Al-Quran UMS anjuran Fakulti Pengajian Islam UMS dengan kerjasama Pusat Islam UMS.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, Pengarah Lembaga Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak, Datuk Nurlaila Said, Pengerusi PBNS, Datuk Dr. Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar dan ADUN Karambunai, Datuk Yakub Khan. — JABATAN PENERANGAN SABAH