KPM Utamakan Murid Warganegara Terjejas Kebakaran, Bantuan Segera Disalurkan – Fadhlina

KPM Utamakan Murid Warganegara Terjejas Kebakaran, Bantuan Segera Disalurkan – Fadhlina

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengutamakan murid warganegara Malaysia yang terjejas dalam insiden kebakaran di Kampung Bahagia, di sini, dengan menyalurkan bantuan segera bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan pembelajaran mereka terus terpelihara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bantuan khas sebanyak RM300 bagi setiap murid warganegara yang terjejas telah dikreditkan ke akaun sekolah untuk diagihkan tanpa berlengah.

Menurut beliau, bantuan itu bertujuan membantu murid membuat persediaan keperluan persekolahan selepas berdepan musibah berkenaan.

“Bantuan khas ini telah disalurkan terus ke akaun sekolah dan pihak sekolah akan mengagihkannya kepada murid terjejas dengan kadar segera. Ia boleh digunakan untuk keperluan asas persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Selain itu, katanya, murid terjejas turut diberikan kelonggaran berkaitan pemakaian seragam sekolah bagi memastikan mereka dapat terus mengikuti sesi pembelajaran tanpa tekanan.

Fadhlina berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera bagi memenuhi keperluan murid, termasuk bantuan pengangkutan ke sekolah.

Tambahnya, sokongan psikososial turut disediakan kepada murid, guru serta warga pendidikan yang terkesan dengan kejadian tersebut.

“KPM komited memastikan bantuan terbaik disalurkan kepada semua murid terjejas, selain memberi perhatian kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan mereka,” katanya.

Beliau menegaskan kementerian akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas.