BELURAN, SABAH – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan terus memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan negara mencukupi.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, bagi tahun 2021, MAFI melalui LKIM telah memperuntukkan sebanyak RM6.43 juta untuk baikpulih rumah nelayan dan pembinaan rumah baharu kepada nelayan bagi seluruh negara di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN).
“Manakala, sebanyak RM3.45 juta pula telah diperuntukkan setakat ini bagi negeri Sabah sahaja untuk bantuan baik pulih rumah nelayan…
“Secara keseluruhan, selain PKPN, MAFI melalui LKIM telah memperuntukkan lebih RM 150 juta pada tahun ini bagi bantuan dan insentif kepada masyarakat nelayan seluruh negara yang merangkumi Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 setiap bulan, Subsidi Minyak Diesel dan Petrol, Dana Nelayan, Tabung Bencana dan Kebajikan Nelayan, Projek Tanaman Kotan, bantuan Projek Ekonomi Kumpulan Nelayan dan Program Food Basket Nelayan.
“Bagi tahun 2021, LKIM juga telah menyalurkan peruntukkan sebanyak RM 500,000 untuk pembelian bangunan pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran dan RM 300,000 untuk pembinaan kilang ais batu di Kg. Keramat, Beluran bagi tujuan penyimpanan hasil tangkapan perikanan dan pemasaran ikan yang akan memberi manfaat kepada 2783 orang nelayan di kawasan ini…
“Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran turut menerima peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah Dana Khas PNK yang merupakan antara inisiatif dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi menjalankan perniagaan jualan ais batu,” katanya.
Beliau berkata sedemikian pada Ahad setelah menjayakan program ‘Walkabout’ ke rumah peserta PKPN dan Lawatan Tapak Kilang Ais Batu PNK di Kg. Keramat sini pada Ahad.

Dr Ronald juga telah meninjau rumah nelayan yang merupakan peserta Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di Kg. Kolapis, sini. Ini adalah sebahagian daripada 200 buah rumah nelayan yang sedang dibaikpulih di kawasan ini di bawah tanggungjawab LKIM.
Seramai 50 orang peserta nelayan di kawasan Beluran telah mendapat bantuan dan insentif secara ‘one-off’ di bawah Projek Tanaman Kontan dengan peruntukan berjumlah RM 100,000.
Dalam pada itu, Dr Ronald turut menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada 100 orang ahli nelayan PNK Beluran. Ianya sebagai sebahagian sumbangan MAFI Prihatin menerusi LKIM bersama-sama PNK bagi mengurangkan beban para nelayan yang terkesan dengan wabak COVID-19.
Turut hadir dalam program walkabout ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd, Ketua Pengarah LKIM, Encik Yusoff Othman, Pengarah LKIM Sabah Encik Sundralingam A/L Nagaiah dan Pengerusi PNK Beluran Encik Uting Rahmat.