KUALA LUMPUR – Sehingga kini, 12 dari 35 pakej kerja (Fasa 1) projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah telah siap 60 peratus (60%).
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata projek itu terdiri daripada TIGA (3) fasa di mana Fasa 1 dengan anggaran jarak 706 kilometer diberikan keutamaan dan dibahagikan kepada 35 pakej kerja.
“Manakala, Surat Setuju Terima (SST) bagi tiga (3) pakej kerja baharu yang melibatkan laluan daripada Batu 32 Sandakan sehingga Sungai Baoto telah dikeluarkan.Kerja-kerja pembinaan tiga (3) pakej tersebut akan bermula pada tahun ini…
“Satu (1) pakej kerja baharu yang melibatkan laluan dari Serusup ke Pituru pula telah diperuntukkan di dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas, menjadikan keseluruhan 16 pakej kerja akan dilaksanakan buat masa kini,” katanya.
Arthur membalas soalan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan di Parlimen pagi tadi mengenai status projek LPB demi memastikan kelangsungan pembangunan ekonomi negeri yang seterusnya dapat memberi peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor khusus buat rakyat Sabah.
Arthur berkata selain menjimatkan masa perjalanan dan kos pengangkutan yang akan memberi manfaat kepada 3.9 juta rakyat Sabah secara amnya, Projek LPB ini perlu dilihat dari aspek yang lebih luas terutama daripada segi rantaian nilai.

“Penglibatan dapat diberikan kepada kontraktor tempatan Sabah daripada pelbagai peringkat pelaksanaan sama ada sebagai perunding, pembekal mahupun kontraktor…
“Projek ini akan menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai tenaga berkemahiran tinggi di kalangan anak tempatan negeri Sabah dan merancakkan sektor perindustrian dan pelaburan di wilayah koridor Sabah,” katanya.
Arthur berkata ianya bertepatan dengan misi dan objektif mempromosikan keseimbangan diantara wilayah dan merentangi ekonomi seimbang diantara bandar dan luar bandar.
Dalam masa yang sama, penambahbaikan dalam konteks perkhidmatan logistik dapat dipertingkatkan khususnya bagi pelaburan sedia ada yang telah dikenal pasti dibawah Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).
“Kerajaan sentiasa prihatin dan komited dalam memastikan kelancaran dan kelangsungan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah sebagai pemangkin pembangunan sektor sosio-ekonomi, perindustrian serta pelaburan di sepanjang jajaran projek tersebut dan memberi manfaat khususnya kepada rakyat Sabah,” ujarnya.