STAR Kuamut Kekal Sokong GRS, Tolak Keputusan Presiden Bertanding Solo PRN-17

STAR Kuamut Kekal Sokong GRS, Tolak Keputusan Presiden Bertanding Solo PRN-17

0
SHARE

RANAU: Parti Solidariti Tanahair (STAR) Bahagian Kuamut mencuri tumpuan apabila secara terbuka menyatakan pendirian untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), meskipun Presiden Star, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, telah mengambil keputusan mengejut untuk keluar daripada gabungan itu.

Ketua Bahagian STAR Kuamut, Mandik Yadam, berkata keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat bahagian Star yang diadakan pada Sabtu lalu, sebagai reaksi terhadap langkah Jeffrey untuk tidak bersama GRS dan bertanding secara solo menggunakan lambang parti sendiri.

“Semua ahli jawatankuasa bahagian Star bersetuju untuk kekal dalam GRS dan akan memberi sokongan penuh kepada calon yang bertanding atas tiket GRS di Kuamut.

“Kami menghormati pendirian Jeffrey sebagai presiden parti, namun dalam kempen PRN-17 ini kami memilih untuk bersama GRS Kuamut pimpinan Datuk Masiung Banah,” tegas Mandik ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa GRS Bahagian Kuamut, semalam.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri pimpinan parti komponen GRS Kuamut, termasuk Masum Takin (Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah, PBS) dan James Aik (USNO).

Ia dipengerusikan oleh Datuk Masiung Banah, Pengerusi GRS Kuamut merangkap Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Mandik yang juga Timbalan Pengerusi GRS Kuamut menjelaskan, Star Kuamut turut membuat ketetapan untuk tidak meletakkan calon di kerusi Kuamut bagi memastikan kemenangan besar GRS di kawasan tersebut.

“Kerjasama politik dalam GRS yang dipayungi kepimpinan Masiung perlu dikekalkan. Beliau sebagai wakil rakyat Kuamut merupakan kunci utama dalam merancang pembangunan daerah Tongod.

“Kami telah membina kestabilan politik selama hampir lima tahun di Kuamut tanpa sebarang perpecahan, maka tidak wajar kami mengkhianati perjuangan yang belum selesai,” katanya.