KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam menyifatkan projek pembangunan The V by Jesselton sebagai mercu tanda baharu yang bakal memperkukuh kedudukan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar tepi laut bertaraf dunia yang dinamik.
Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Jesselton International dan Yayasan Sabah atas kerjasama strategik dalam merealisasikan projek tersebut, yang disifatkannya sebagai contoh terbaik kerjasama awam-swasta berteraskan sumber, kepakaran dan visi bersama untuk kemajuan Sabah.
“Projek ini bukan sekadar pembangunan hartanah biasa. Ia mencerminkan visi ke hadapan untuk Kota Kinabalu, sebuah destinasi ikonik pelbagai guna yang menggabungkan ruang komersial, runcit dan gaya hidup dalam satu konsep bersepadu,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek itu, hari ini.
Dr Joachim menegaskan, pembangunan tersebut bukan sahaja akan memperindah landskap bandar tetapi turut mewujudkan peluang pekerjaan serta menarik pelaburan baharu, secara langsung menyokong aspirasi Kerajaan Negeri membina Sabah yang progresif dan berdaya saing di peringkat global di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Projek sebegini memainkan peranan penting dalam mengangkat Kota Kinabalu sebagai bandar waterfront yang diiktiraf antarabangsa. Ia merangsang pertumbuhan ekonomi dan membuka pelbagai peluang yang memberi manfaat kepada penduduk serta pelancong,” ujarnya.
Beliau turut memuji komitmen Jesselton International terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), menegaskan bahawa kelestarian perlu menjadi teras utama pembangunan bandar moden.
“Dalam dunia hari ini, kemajuan tidak boleh hanya diukur dengan batu bata dan konkrit. Ia mesti mencerminkan tanggungjawab, keterangkuman dan kelestarian. Saya gembira projek The V by Jesselton mengangkat nilai-nilai ini melalui falsafah reka bentuk dan integrasi hijaunya,” katanya.
Dr Joachim turut memberi jaminan bahawa kementeriannya menyokong penuh projek pembangunan bertanggungjawab dan inovatif yang seiring dengan agenda pembangunan negeri.
Beliau menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan dan pemaju berwibawa untuk memastikan pembangunan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
“Dengan bekerjasama bersama rakan strategik seperti Jesselton International dan Yayasan Sabah, kita bukan sahaja membina bangunan yang mengubah rupa langit bandar, tetapi juga memajukan komuniti,” tegasnya.
Beliau yakin The V by Jesselton akan menjadi penanda aras baharu bagi pembangunan mampan dan berwawasan di Sabah.
“Semoga majlis pecah tanah ini bukan sekadar permulaan pembinaan fizikal, tetapi juga detik lahirnya satu legasi yang akan dibanggakan oleh generasi akan datang,” katanya.






