KOTA KINABALU, 6 Oktober — Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dijadualkan menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat Kerajaan Negeri di Menara Kinabalu pada jam 2 petang.
Maklumat itu disampaikan Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri kepada media-media hari ini.
Terdahulu, di Istana Seri Kinabalu, kenderaan membawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor masuk bagi menghadiri pertemuan tertutup bersama Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, pada jam 8.51 pagi.
Sekitar jam 10.15 pagi, kenderaan yang membawa Hajiji keluar dan beliau sempat memberikan isyarat bagus kepada petugas-petugas media.

Sementara itu di Menara Kinabalu, pusat pentadbiran negeri Sabah, petugas media turut berkumpul seawal 9 pagi bagi melakukan persediaan pengumuman pembubaran DUN.
Situasi di Menara Kinabalu juga tenang dengan aktiviti berjalan seperti biasa, namun difahamkan satu majlis bersama pemimpin negeri akan diadakan di menara itu hari ini.
Setakat ini, masih tiada pemakluman rasmi mengenai pembubaran DUN atau jemputan menghadiri sidang media perkara itu.






