DUN Sabah Ke-16 Dibubarkan Hari Ini , Laluan PRN-17 Dibuka Rasmi –...

DUN Sabah Ke-16 Dibubarkan Hari Ini , Laluan PRN-17 Dibuka Rasmi – Hajiji

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 berkuat kuasa serta-merta, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Hajiji berkata, beliau telah menghadap Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah pagi tadi untuk menasihatkan pembubaran DUN, selaras dengan tempoh lima tahun penggal semasa yang telah berakhir.

“Dengan perkenan Tuan Yang Terutama Tun, DUN Sabah Ke-16 akan dibubarkan berkuat kuasa hari ini, 6 Oktober 2025. Ini memberi kuasa kepada rakyat Sabah untuk menggunakan hak demokrasi mereka menentukan siapa yang akan memimpin negeri ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam tempoh penggal ini, Hajiji menegaskan kerajaan negeri telah bekerja keras melaksanakan agenda pembangunan menyeluruh melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada September 2020.

Pelan pembangunan berasaskan tiga tonggak utama Pertanian, Industri dan Pelancongan; Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat; serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau telah meletakkan Sabah pada landasan transformasi yang jelas.

Katanya lagi, kerajaan negeri turut mengambil langkah berani menangani pelbagai isu lama yang diwarisi, khususnya melibatkan bekalan air, elektrik dan infrastruktur kritikal. Projek besar sedang dan telah dilaksanakan untuk menyelesaikan cabaran yang membelenggu rakyat sejak sekian lama.

Sabah turut mencatatkan peningkatan ketara dari segi kemasukan pelaburan baharu yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan, memperluas bantuan pendidikan dan menaik taraf kesejahteraan sosial pelbagai lapisan masyarakat.

“Pencapaian ini merupakan hasil kepercayaan, sokongan dan visi bersama rakyat untuk sebuah Sabah yang lebih baik,” ujar Hajiji.

Menurut beliau, walaupun banyak kejayaan telah dicapai, masih banyak cabaran baharu menuntut penyelesaian berani dan tuntas.

Justeru, pembubaran ini menjadi langkah penting untuk memperoleh mandat baharu rakyat bagi meneruskan kesinambungan pembangunan.

“Kami memohon mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan usaha membina Sabah yang lebih kukuh, makmur dan bersatu untuk semua,” katanya.

Hajiji turut menzahirkan harapan agar keputusan pilihan raya nanti dapat memperkukuh suara rakyat, menjamin kestabilan politik dan keselamatan negeri, serta memastikan kemajuan berterusan.

“Marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dan tujuan,” katanya mengakhiri kenyataan rasmi itu.