Lima tahun memerintah Sabah di landasan transformasi mampan

Lima tahun memerintah Sabah di landasan transformasi mampan

0
SHARE

KOTA KINABALU, 6 Oktober – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sepanjang lima tahun lalu kerajaan negeri telah berusaha gigih membawa perubahan serta pertumbuhan ekonomi yang bermakna kepada rakyat Sabah.

Jelasnya, melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang holistik dan inklusif, Sabah kini berada pada landasan transformasi yang jelas dan mampan.

“Berpandukan tiga tonggak utamanya, pertama, pertanian, industri dan pelancongan. Kedua, modal insan dan kesejahteraan rakyat, dan ketiga, jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau, pelan hala tuju ini telah mencapai kemajuan yang sebenar.

“Kami mengambil langkah berani dan tanggungjawab untuk menangani isu lama yang diwarisi terutamanya berkaitan bekalan air dan elektrik serta infrastruktur kritikal.

“Tindakan konkrit dan beberapa projek besar sedang dijalankan untuk menyelesaikan cabaran yang diwarisi ini yang telah membebankan rakyat sejak sekian lama,” katanya dalam sidang media pengumuman khas pembubaran DUN Sabah ke-16 di sini hari ini.

Terdahulu, Hajiji mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan berkuat kuasa hari ini sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, permohonan pembubaran itu sudah diperakukan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pagi ini.