Yuran Sijil Fizikal STPM RM60 Wajar Dikaji Semula, Jangan Bebankan Pelajar B40...

Yuran Sijil Fizikal STPM RM60 Wajar Dikaji Semula, Jangan Bebankan Pelajar B40 – Allison

0
SHARE

KOTA KINABALU: Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) digesa mengkaji semula kadar bayaran RM60 bagi permohonan sijil fizikal Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di bawah sistem pensijilan baharu, bagi memastikan akses kepada pendidikan kekal mampu milik khususnya kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Timbalan Ketua Pergerakan Generasi Muda UPKO Pusat, Allison Chan berkata, gesaan itu dibuat memandangkan hampir 76 peratus calon STPM merupakan pelajar daripada kategori B40 yang bergantung kepada laluan berkenaan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

Beliau berkata, berdasarkan data rasmi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), daripada 41,548 calon yang menduduki ketiga-tiga semester STPM pada 2023, seramai 31,569 calon atau 75.98 peratus adalah daripada kategori B40.

Walaupun RM60 mungkin dilihat sebagai jumlah yang kecil dari sudut tertentu, bagi keluarga berpendapatan rendah ia merupakan kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pelajar selepas menamatkan pengajian dan peperiksaan STPM.

“Sekiranya matlamat sistem pendidikan Malaysia adalah untuk memperluaskan akses kepada pendidikan dan peluang kerjaya, maka matlamat itu juga perlu dilaksanakan dengan kos yang munasabah kepada pelajar dan keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Allison berkata, sijil STPM merupakan dokumen akademik rasmi yang diperlukan bagi pelbagai urusan penting termasuk permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi, biasiswa, pekerjaan dan urusan pentadbiran.

Beliau turut menggesa MPM memastikan kualiti sijil fizikal yang dikeluarkan berada pada tahap terbaik, termasuk menjamin mutu percetakan, pembungkusan dan penghantaran memandangkan terdapat pelajar yang dilaporkan menerima sijil dalam keadaan kurang memuaskan selepas proses penghantaran.

Katanya, sekiranya sijil diterima dalam keadaan rosak akibat penghantaran, mekanisme penggantian tanpa sebarang caj tambahan juga wajar dipertimbangkan.

Dalam pada itu, Allison menegaskan pelaksanaan e-Sijil tidak bermaksud keperluan terhadap sijil fizikal telah dihapuskan sepenuhnya kerana masih terdapat institusi pengajian tinggi, majikan dan organisasi yang memerlukan dokumen fizikal atau salinan yang diperakui bagi tujuan permohonan.

“Saya menyokong usaha pendigitalan dokumen akademik kerana ia mampu meningkatkan kecekapan serta memudahkan urusan pentadbiran pelajar. Namun begitu, pendigitalan seharusnya mengurangkan beban pentadbiran dan kos, bukannya menyebabkan pelajar menanggung kos tambahan untuk mendapatkan dokumen fizikal yang masih diperlukan dalam keadaan tertentu.

“MPM juga perlu memberikan penjelasan yang jelas mengenai asas dan justifikasi pengenaan bayaran RM60 di bawah sistem baharu ini. Sebarang caj yang dikenakan hendaklah mengambil kira keadaan sosioekonomi majoriti calon STPM,” katanya.