KOTA KINABALU: Peminjam Pinjaman Pengajian Yayasan Sabah kini berpeluang menikmati rebat sehingga 30 peratus bagi pembayaran balik pinjaman menerusi Program Rebat Budi Madani 2026, selain manfaat Program Pengampunan CTOS yang memberi peluang kepada peminjam ingkar memperbaiki rekod kredit mereka.
Program yang berlangsung dari 6 hingga 26 Ogos 2026 itu diperkenalkan sebagai inisiatif khas bagi menghargai peminjam yang komited membuat pembayaran balik pinjaman, di samping menggalakkan budaya pembayaran yang mampan demi memastikan kelestarian dana tajaan pengajian Yayasan Sabah.
Melalui program berkenaan, tiga kategori rebat ditawarkan kepada peminjam mengikut status pembayaran masing-masing.
Peminjam dalam kategori Aktif Bayar yang melunaskan keseluruhan baki pinjaman layak menikmati rebat sebanyak 30 peratus, manakala peminjam lain yang membuat penyelesaian penuh ditawarkan rebat 25 peratus.
Bagi peminjam yang meneruskan pembayaran secara ansuran biasa pula, mereka layak menerima rebat 20 peratus.
Yayasan Sabah memaklumkan, pelaksanaan program rebat pada tahun lalu berjaya mencatatkan kutipan pembayaran balik pinjaman tertinggi sejak penubuhannya, iaitu sebanyak RM8 juta, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan insentif dalam meningkatkan kesedaran peminjam untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Menurut kenyataan itu, pemberian kadar rebat yang lebih tinggi kepada peminjam yang konsisten membuat pembayaran merupakan penghargaan terhadap disiplin mereka dalam mematuhi jadual pembayaran balik yang ditetapkan.
Bagi memudahkan penyertaan orang ramai, Yayasan Sabah turut membuka kaunter khas sempena Program Rebat Budi Madani 2026 menerusi beberapa siri jelajah.
Jelajah pertama diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 6 Ogos, diikuti sesi kedua di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu pada 8 Ogos.
Program itu kemudian diteruskan di Tapak Tamu Pekan Papar pada 15 hingga 16 Ogos, sebelum berakhir di Tapak Tamu Pekan Kota Belud pada 22 hingga 23 Ogos.
Dalam masa sama, Yayasan Sabah turut memperkenalkan Program Pengampunan CTOS sebagai langkah membantu peminjam yang telah disenaraikan dalam CTOS akibat tunggakan pinjaman.
Menerusi program itu, peminjam yang layak boleh memohon supaya nama mereka dikeluarkan daripada senarai CTOS dengan membuat pembayaran balik tunggakan dalam jumlah yang munasabah, sekali gus mengurangkan beban berbanding keperluan melangsaikan tunggakan dalam jumlah yang besar seperti sebelum ini.
Sebagai alternatif, peminjam juga boleh mendapatkan maklumat serta berurusan secara terus di Kaunter Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian, Bahagian Pungutan Pinjaman Pengajian, Aras 26, Menara Tun Mustapha, Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah.
Maklumat lanjut mengenai Program Rebat Budi Madani 2026 dan Program Pengampunan CTOS boleh diperoleh melalui laman Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, talian 011-33181088 atau e-mel kebayaranbalikpinjaman@ysnet.org.my.






