JKKK Perlu Turun Padang, Jadi Pemudah Cara Selesai Masalah Rakyat – James

JKKK Perlu Turun Padang, Jadi Pemudah Cara Selesai Masalah Rakyat – James

0
SHARE

PAITAN: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu memainkan peranan lebih proaktif sebagai pemimpin akar umbi yang sentiasa mendampingi masyarakat serta menjadi penghubung utama antara rakyat dan kerajaan bagi memastikan setiap isu di peringkat kampung dapat ditangani dengan berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib berkata, pelantikan sebagai Ahli JKKK bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya amanah besar yang menuntut komitmen, integriti dan tanggungjawab tinggi dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

JKKK merupakan barisan hadapan kerajaan di peringkat akar umbi. Rakyat melihat JKKK sebagai tempat pertama untuk menyuarakan masalah, mendapatkan bantuan dan mencari penyelesaian. Jangan hanya menjadi pemimpin ketika ada program atau majlis rasmi, tetapi jadilah pemimpin yang sentiasa turun padang dan memahami sendiri cabaran rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sesi 2025–2030 serta merasmikan Kursus Kelas Asas Sulaman Baju Tradisi Etnik Inokang Daerah Paitan di Dewan KDCA Daerah Paitan, pada Sabtu.

James berkata, kejayaan membangunkan sesebuah kampung bukan hanya bergantung kepada kepimpinan JKKK semata-mata, malah memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana dan masyarakat setempat agar pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi turut menegaskan pembangunan modal insan melalui pendidikan, latihan kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sains, teknologi serta inovasi perlu terus diperkasakan bagi melahirkan komuniti yang lebih berdaya saing, khususnya di kawasan luar bandar.

Mengulas mengenai Kursus Kelas Asas Sulaman Baju Tradisi Etnik Inokang, James berkata program berkenaan bukan sahaja memelihara warisan budaya masyarakat tempatan, malah berpotensi membuka peluang ekonomi kepada peserta melalui penghasilan produk kraftangan berkualiti yang boleh dipasarkan ke peringkat lebih luas dengan memanfaatkan platform digital.

“Saya mahu melihat hasil sulaman masyarakat Inokang dipasarkan ke seluruh Sabah, Malaysia malah ke peringkat antarabangsa. Dengan memanfaatkan media sosial, platform e-dagang dan pemasaran digital, hasil kraftangan tempatan mempunyai potensi besar untuk dipasarkan ke seluruh dunia.

“Kita tidak mengubah budaya, sebaliknya menggunakan teknologi sebagai medium untuk memastikan warisan itu terus hidup serta memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menggalakkan golongan belia menjadikan kemahiran sebagai aset penting dalam membina masa depan kerana kejayaan masa kini bukan lagi bergantung kepada kelulusan akademik semata-mata, sebaliknya turut didorong oleh kreativiti, kemahiran dan keberanian mencipta peluang.