BEAUFORT, SABAH – Wakil Rakyat Lumadan, Datuk Haji Ruslan Muharam mengajak umat Islam terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan untuk menurut contoh terbaik yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW bukan sahaja dari segi kepimpinan dan politik tetapi juga dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.
Katanya, sebelum menjadi Rasul, Baginda SAW telah mengikut ayah saudaranya untuk berniaga dan kerana sifatnya yang jujur dan amanah, Baginda SAW digelar sebagai al-Amin.
“Hal ini merupakan satu perkara yang perlu kita contohi…
“Saya sentiasa menggalakkan rakyat di kawasan Lumadan untuk berniaga dan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.
“Saya sangat komited dalam usaha untuk menubuhkan dan menggerakkan koperasi-koperasi yang mampu bersaing dan maju dalam bidang perniagaan. Alhamdulillah, dengan wujudnya Coopmart- coopmart di kawasan Lumadan membuktikan ramai masyarakat di DUN ini yang sedia menyahut seruan saya itu,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN Lumadan bagi tahun 2022 Masihi yang diadakan di sini baru-baru ini.
Bertepatan dengan tema Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini yang mengangkat konsep kekeluargaan iaitu “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”, Ruslan juga menyeru semua pihak agar mengekalkan perpaduan di kalangan mereka.
“Sebagai umat islam, kita semua bersaudara. Maka, genggamlah erat-erat persaudaraan itu, dan jangan biarkan anasir luar memecah-belahkan kita semua…
“Kita tidak akan lari dari perbezaan pendapat, perbezaan politik tetapi berfikiran matanglah, jangan berlebih-lebihan.
“Marilah kita sama-sama berusaha untuk mengamalkan corak kepimpinan Nabi Muhammad SAW agar kita mampu membentuk perpaduan dan kemakmuran, khususnya di DUN lumadan,” katanya, sambil menyeru semua agar dapat mengamalkan ajaran islam dengan sebaiknya.
“Jadikan Rasulullah sebagai-baik teladan, insyaallah kita akan berjaya bukan sahaja di dunia, malah di akhirat juga,” ujarnya.
Ruslan turut menyeru agar rakyat perlu mengusahakan tanah-tanah terbiar kerana pertanian adalah satu perniagaan.
“Ia merupakan dalam amalan perniagaan sebagai teladan kepada pembawaan kehidupan Nabi”, kata Ruslan.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Datuk Matbali Musah.