KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) akan bersidang selama empat hari mulai pada 22 April ini.
Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata sidang tersebut akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
“Tujuan kita membuat hormat kepada Tun Juhar hari ini adalah untuk mempersilakan Tun menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima dan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Penggal Keenam Belas pada 18hb April nanti.
“Selepas perasmian tersebut kita akan mengadakan Jamuan Aidilfitri kepada semua yang hadir pada hari itu.
“Persidangan akan bermula pada 22hb April sehingga ke 25hb April nanti,” katanya.
Mengulas lanjut, Kadzim memaklumkan Tun Juhar bersetuju hadir dan menasihatkan agar pindaan dibuat terhadap beberapa peraturan tetap yang sudah tidak sesuai.
“Sebagai seorang yang pernah menjadi speaker Tun Juhar tahu juga mana-mana yang peraturan yang tidak bersesuaian dan perlu dikaji semula sebelum dibuat pindaan.
“Kita juga dalam peringkat kajian untuk meminda mana-mana peraturan tetap yang tidak bersesuaian dengan keadaan dan juga untuk penyelarasan dengan negeri lain dan parlimen”, ujar Kadzim semasa ditemui media dalam sesi kunjungan hormat belia kepada Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu.
Hadir sama dalam sesi kunjungan tersebut Timbalan Speaker Dun Sabah Datuk Yong We Kong dan Brigader Jeneral Datuk Al Hambra Juhar.
Terdahulu, Tun Juhar menerima kunjungan Badan Dakwah Daerah Kecil Tungku, Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah yang diketuai oleh Momen Mukmin Anghal@ Anchai. — JABATAN PENERANGAN SABAH