Isnin minggu hadapan bakal menjadi penentu buat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitanya pelantikan diterima dengan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat atau sebaliknya.
Memetik sumber Bernama, usul undi percaya yang bakal dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 bagi mengabsahkan kedudukannya walaupun terdapat segelintir pihak berpendapat tindakan terbabit adalah “mencari nahas”.
Anwar sebelum ini dilaporkan yakin akan menerima undi dua pertiga ahli Dewan Rakyat meskipun terdapat desas-desus menyatakan adanya kumpulan tertentu daripada parti yang menyertai Kerajaan Perpaduan tidak menyokong beliau sebagai Perdana Menteri ke-10.
Ramai pemerhati politik berpendapat tindakan Anwar dalam mendepani undi percaya itu sebagai langkah tepat bagi memastikan kestabilan kerajaan perpaduan yang dipimpinnya.
Lebih-lebih lagi apabila setiap gabungan dan parti yang menyokong kerajaan perpaduan itu mempunyai ideologi perjuangan yang berbeza.
Mesti dua pertiga
Mengulas hal terbabit, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata amat kritikal bagi Anwar memperoleh sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat bagi mengelak berulangnya kecelaruan pentadbiran negara sepanjang penggal lepas.
“Dalam keadaan majoriti mudah, kerajaan masih terjamin tetapi ia tidak teguh, dan pada bila-bila masa sahaja ada risiko parti yang membentuk kerajaan perpaduan itu bertindak keluar sekiranya tidak puas hati dengan sesuatu perkara, maka episod ketidakstabilan politik seperti pentadbiran lepas berlaku lagi.
“Tambahan pula, akta lompat parti (Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 ) hanya menghalang individu (wakil rakyat daripada bertukar parti) tetapi tidak (menyekat) parti untuk keluar daripada kerajaan…
“Keadaan ini pastinya akan bermasalah pada masa depan sekiranya Anwar gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga,” katanya.
Kerajaan perpaduan ketika ini diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai 82 kerusi Dewan Rakyat dan disertai oleh Barisan Nasional (BN) dengan 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6) dan disokong oleh beberapa parti kecil dan wakil rakyat Bebas.
Blok kerajaan ini berdepan dengan Perikatan Nasional (PN) selaku pembangkang dengan 74 kerusi.
Mengulas lanjut, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Nik Ahmad Kamal berkata pada usul undi percaya Isnin ini, Anwar memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 148 wakil rakyat bagi memperoleh majoriti dua pertiga.
“Dengan adanya sokongan majoriti dua pertiga, ia dapat membantu kerajaan pimpinan Anwar untuk menumpukan atau fokus sepenuhnya kepada usaha memulihkan ekonomi, membangunkan negara dan menyejahterakan kehidupan rakyat,” katanya.
Berdasarkan pada Notis Mesyuarat Pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada ahli-ahli Parlimen, usul undi percaya kepada Anwar itu adalah yang agenda kelapan di bawah aturan urusan mesyuarat.
Dilaporkan, usul undi percaya pernah dibuat terhadap Tun Hussein Onn selaku Perdana Menteri Ketiga pada 27 Jan 1976 dan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Kelima pada 3 Nov 2003.
Jangkaan tipis
Sementara itu, Felow Kanan Majlis Profesor Negara Jeniri Amir ketika ditanya tentang kemungkinan Anwar gagal memperoleh sokongan yang diperlukan, beliau berkata peluang untuk hal itu berlaku adalah tipis.
Menurutnya, beliau percaya Anwar menerima sokongan padu kesemua wakil rakyat daripada parti-parti yang menyertai kerajaan perpaduan itu.
“Beliau (Anwar) sudah memperoleh majoriti, maka tidak ada sebab untuk wakil rakyat berkenaan belot ataupun mengkhianati amanah yang telah diberi kepadanya (oleh parti).
“Apatah lagi, kerajaan perpaduan ini dibentuk hasil cadangan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Maka, untuk mereka bertindak berlawanan dengan hasrat itu, adalah sesuatu yang bukan saja menjejaskan imej mereka sebagai wakil rakyat tetapi pasti akan menjejaskan kedudukan perdana menteri serta kerajaan perpaduan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan risiko yang diambil oleh Anwar sebagai langkah terbaik bagi menangkis tanggapan negatif selain meningkatkan reputasi Anwar di dalam dan luar negara.
Katanya, ini akan membawa impak positif terhadap pasaran saham dan juga pelaburan asing di negara ini…
Jeniri juga percaya rakyat akan memantau tindak-tanduk barisan jemaah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar itu terutamanya dari segi kredibiliti mereka.
“Kerajaan baharu perlu dilihat berupaya, dan (sekarang) ini merupakan tempoh untuk dibuktikan, khususnya Anwar, mengotakan janji serta membuktikan bahawa pimpinan beliau lebih baik daripada kerajaan sebelumnya,” katanya.





