KUDAT: Seorang lelaki berusia 46 tahun melecur di bahagian bahu belakang dalam kebakaran yang memusnahkan lapan rumah di Kampung Gumpa, di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 10.38 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan lima rumah separuh kekal yang terbakar 90 peratus, dua rumah tidak kekal musnah sepenuhnya, manakala sebuah rumah kekal hanya mengalami kerosakan 10 peratus.
“Turut musnah dalam kejadian itu ialah sebuah kereta jenis Proton Satria dan dua motosikal yang terbakar sepenuhnya.
“Mangsa yang melecur diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba di lokasi kejadian sebelum tindakan lanjut diambil,” kata jurucakap agensi.
Operasi pemadaman melibatkan 25 anggota daripada BBP Kudat dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Air Kudat.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.47 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.15 petang.






