PGRS Berharap Bajet 2023 Rapatkan Jurang Dengan Semenanjung

PGRS Berharap Bajet 2023 Rapatkan Jurang Dengan Semenanjung

0
SHARE
Nizam
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU, SABAH – Bajet 2023 yang dibentang baru-baru diharap bakal merapatkan lagi jurang pembangunan antara tiga wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata suntikan khas secara terus RM6.5 bilion yang diterima Sabah dari RM388 bilion Bajet 2023 adalah peningkatan lebih 3 peratus berbanding tahun lalu.

“Ianya di samping menerima pelbagai peruntukan lain seperti RM20 bilion melibatkan pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo di kedua-dua Sabah dan Sarawak serta penerima terbesar faedah peruntukan RM1.2 bilion bagi menaik taraf beratus klinik dan sekolah di kedua-dua negeri.

“Peruntukan RM1 bilion untuk membina Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan dengan Indonesia termasuk di Kalabakan akan turut memberi impak positif kepada ekonomi Sabah berikutan pembinaan bandar pentadbiran baru Indonesia di Nusantara.

“Rakyat khususnya di Pedalaman juga menyokong penuh kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor supaya CIQ yang sama akan turut dipertimbang untuk dibina di Bantul, Pensiangan,” katanya.

Nizam berkata golongan petani, pekebun getah, belia, wanita, usahawan PMKS dari Sabah bakal turut sama menerima pelbagai kemudahan bantuan, pinjaman mahupun pengurangan cukai, seperti diumumkan.

“Saya menyeru kepada rakyat Sabah untuk mengambil peluang-peluang ini, dan PGRS sendiri akan mengambil inisiatif memberi penjelasan kepada rakyat .

“Terdapat RM1.7 bilion diperuntukkan untuk pinjaman kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana tahun ini menerusi Tekun, BSN dan Bank Negara.

“Peniaga Sabah harus ambil peluang ini lebih-lebih ekonomi kini semakin pulih dari tekanan pandemik COVID-19 dua tahun kebelakangan ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan juga akan memperluas bantuan dan peluang kepada Sabah dalam usahanya termasuk membuka tanah sebagai kawasan pertanian untuk mempertingkat sumber makanan sekaligus membantu menurunkan kos bahan mentah makanan.

“Kita bersyukur dan mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyediakan bajet pro-rakyat ini dan diharap ia landasan kepada bajet-bajet madani yang lebih hebat pada tahun-tahun mendatang. 

“Ini mungkin satu lagi titik permulaan bagi Sabah melonjakkan lagi pembangunannya mengejar Semenanjung, agar tidak lagi tertinggal di belakang dari segi pembangunan dan kemajuan sejak kita sama-sama membentuk negara Malaysia pada tahun 1963,”  katanya.