KUALA LUMPUR – Mutasi baharu virus COVID-19 ang dikenali sebagai VUI-202012/01 telah dikesan oleh Agensi Kesihatan Awam England (PHE) di selatan dan timur negara itu.
Memetik sumber pada laman sesawang kerajaan United Kingdom, mutasi baharu itu dikesan telah menjangkiti 1,108 individu di England setakat 13 Disember lalu.
PHE memaklumkan, mutasi baharu itu boleh menyebabkan virus berkenaan lebih mudah berjangkit antara individu.
Bagaimanapun, jelasnya belum ada sebarang bukti menunjukkan mutasi baharu COVID-19 itu menyebabkan penyakit dialami lebih teruk, memberi kesan pada tindak balas antibodi atau keberkesanan vaksin.
“Jumlah kes tinggi membabitkan mutasi baharu ini dikesan di beberapa kawasan yang mencatatkan jumlah tinggi jangkitan COVID-19.
“Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan sama ada mutasi ini yang bertanggungjawab menyebabkan peningkatan jumlah kes. PHE akan memantau impaknya dalam beberapa hari dan minggu akan datang…
“Namun, adalah perkara biasa untuk virus mengalami mutasi; virus influenza bermusim bermutasi setiap tahun. Beberapa jenis virus COVID-19 turut dikesan di negara lain, seperti Sepanyol,” jelas kenyataan itu, yang turut dikongsi di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM).
Sementara itu, Penasihat Perubatan Bersama PHE, Dr Susan Hopkins, berkata pihaknya perlu mengesan perubahan pada strain virus COVID-19 dengan pantas supaya dapat memahami kemungkinan risiko baharu terhadap orang ramai.
“Cara terbaik untuk menghentikan jangkitan ini adalah kekal pada peraturan asas, iaitu basuh tangan, menggunakan pelindung muka dan jaga jarak dengan orang lain,” katanya.