KOTA KINABALU, SABAH – Semua wakil rakyat kerajaan baharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu melengkapkan diri dengan maklumat terkini termasuk meningkatkan kefahaman mengenai peraturan dan dasar di peringkat negeri serta pusat.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor yang dipetik Bernama berkata ia penting bukan saja untuk memberi keyakinan kepada rakyat malah memperlihatkan seorang ahli politik atau wakil rakyat itu lebih disegani dan berwibawa.
“Dalam era kecanggihan informasi, apa juga perkara yang berlaku akan tersebar dan menjadi tular dengan begitu pantas dan luas. Justeru, sebagai pemimpin kerajaan, kita perlu sentiasa bersiap sedia melengkapkan diri dengan maklumat terkini terutama fakta.
“Kita juga perlu memahami isu yang dibangkitkan sebelum mengambil tindakan atau membuat kenyataan dengan jelas dan tepat di media rasmi atau sosial…
“Rakyat hari ini tidak sama seperti dulu kerana ramai anak bangsa kita memiliki pendidikan dan kemahiran yang melangkaui persada global,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kelab Penyokong Kerajaan GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan GRS, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan menteri serta pembantu menteri Kabinet negeri Sabah
Persidangan dianjurkan oleh kelab tersebut bersama Jabatan Perkhidmatan Negeri Sabah (JPAN) dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).Pada masa yang sama, Hajiji berkata, berkomunikasi secara maya kini sudah menjadi kebiasaan baharu dalam semua peringkat masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Sudah pasti ini akan menjadi cabaran kepada wakil rakyat yang tidak menguasai kemahiran selari dengan perubahan trend ini. Pejabat Maya dan ‘Small Office and Home Office’ (SOHO) juga telah semakin penting dan meluas dengan adanya pelbagai aplikasi dalam talian yang mempermudah dan mempercepatkan kerja serta komunikasi.
“Justeru, saya berharap supaya aktiviti Kelab Penyokong Kerajaan GRS ini akan terus digiatkan dan menjadi medan percambahan minda, menimba ilmu dan pengalaman demi pembangunan rakyat serta negeri ini,” katanya lagi.