Tumpahan Minyak Diesel Punca Penunggang Motosikal Cedera di Tanjung Aru

Tumpahan Minyak Diesel Punca Penunggang Motosikal Cedera di Tanjung Aru

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal cedera ringan selepas tergelincir akibat tumpahan minyak diesel di bawah Flyover Tanjung Aru, di sini, pada Rabu.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 10.23 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dikerahkan ke lokasi, kira-kira satu kilometer dari balai.

Menurut kenyataan JBPM, Komander Operasi memaklumkan terdapat tumpahan minyak diesel di atas jalan raya dan pasukan bomba segera menjalankan kerja-kerja pembersihan menggunakan satu aliran hos salur bantu mula.

Bagaimanapun, semasa operasi pembersihan dijalankan, sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dipercayai tergelincir sebelum terbabas, menyebabkan penunggang lelaki berusia 27 tahun mengalami kecederaan ringan.

Pasukan bomba memberikan rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.

Operasi melibatkan sembilan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS, serta turut dibantu pihak polis, ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.57 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.