KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mula menguatkuasakan larangan penggunaan polisterin dan penyedut minuman plastik di seluruh kawasan pentadbirannya bermula 1 Oktober 2025, sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh amalan kelestarian bandar.
Langkah ini diumumkan semasa Sesi Libat Urus Kempen Pengurangan Penggunaan Polisterin dan Penyedut Minuman Plastik yang telah diadakan di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu baru-baru ini.
Sesi Libat Urus itu telah dihadiri lebih 135 peserta mewakili pelbagai pihak berkepentingan seperti Persatuan Kedai Kopi, Persatuan Penjaja, pengurusan pusat beli-belah, dan pengusaha industri plastik.
Sesi tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon dan turut dihadiri oleh Setiausaha Rendah (Sektor Pembangunan), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Johnny Samson serta wakil SIRIM Sabah, Herric Evans.
Taklimat berkenaan pelaksanaan larangan ini telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK, Leong Tze Fui yang menjelaskan bahawa kempen ini merupakan sebahagian daripada pelan tindakan DBKK dalam menangani pencemaran sisa plastik dan menyokong dasar kerajaan negeri melalui Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal.
Kempen ini akan dilancarkan secara rasmi pada 29 Jun 2025 sempena Kempen Kesedaran “My City, My Responsibility” bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar, dan akan menyasarkan premis-premis di bawah pengurusan DBKK termasuk kedai makan dan restoran; perkhidmatan makanan dan minuman (F\&B).
Seterusnya, cafe dan kantin sekolah; kedai runcit yang menjual minuman dalam tin; perkhidmatan katering berdaftar; penjaja, pasar dan tamu.
Mulai tarikh penguatkuasaan, semua pengusaha terlibat dilarang menggunakan bekas makanan berasaskan polisterin serta tidak dibenarkan menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan.
Menurut DBKK, penguatkuasaan ini adalah kesinambungan kepada kempen terdahulu seperti larangan beg plastik dan menjadi sebahagian daripada komitmen DBKK ke arah menjadikan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai bandar pintar, lestari dan berdaya huni.
DBKK turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan memberikan pandangan dalam sesi libat urus tersebut, dan menyeru semua pihak untuk terus memberi sokongan dan kerjasama dalam menjayakan kempen ini demi masa depan alam sekitar yang lebih mampan.






