KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 26 tahun mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sendiri dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku di kawasan Inanam Taipan, selepas jambatan, malam tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 11.43 malam dan segera menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas ke lokasi kejadian.
Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 11.50 malam, dengan kekuatan lapan anggota yang diketuai oleh Mohamad Faizal Alias selaku Komander Operasi.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza telah terbabas sendiri. Seorang lelaki yang juga pemandu kenderaan tersebut mengalami kecederaan ringan,” kata kenyataan tersebut.
Mangsa telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir di lokasi sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan di tempat kejadian termasuk menghapuskan tumpahan minyak menggunakan satu aliran hos dari jentera bomba bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.17 tengah malam selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
Turut membantu dalam operasi adalah tiga petugas perubatan dari KKM. Jarak lokasi kejadian dari balai bomba dianggarkan sejauh lima kilometer.






