Leecas Vape Diserbu, Vape Haram RM75,825 Dirampas di Likas

Leecas Vape Diserbu, Vape Haram RM75,825 Dirampas di Likas

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebuah premis vape dikenali sebagai Leecas Vape di sekitar Likas diserbu dalam Operasi Bersepadu Inter-Agensi membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan IPD Kota Kinabalu.

Dalam serbuan itu, pemeriksaan pihak kesihatan menemui 92 jenis perisa vape dipamerkan di kaunter jualan, manakala pemeriksaan lanjut oleh PPM menjumpai 2,353 unit cecair vape pelbagai jenama disimpan di dalam premis berkenaan.

Kesemua barangan dirampas kerana disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), dengan nilai rampasan dianggarkan RM75,825.

Pihak berkuasa memaklumkan jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya, manakala hukuman lebih berat menanti bagi kesalahan berulang.

Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras penjualan serta pengedaran vape haram demi melindungi kesihatan awam, dan orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti berkenaan kepada pihak berkuasa.