
KOTA KINABALU, SABAH – Tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) dari Parti Warisan (WARISAN) mengumumkan keluar dari parti, hari ini.
Antara ADUN terlibat ialah Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).
Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga ADUN terbabit memaklumkan telah memutuskan untuk menjadi ADUN bebas disamping menyatakan sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Setelah memperhalusi pelbagai aspek dari segenap seluruh pertimbangan termasuklah selepas mengambil kira hala tuju gabungan parti dan pandangan akar umbi di kawasan yang kami wakili maka dengan ini kami mengisytiharkan keluar Parti WARISAN dan memilih berkhidmat sebagai ADUN bebas.
“Kami juga menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri Sabah dibawah pimpinan Datuk Hajiji Noor selaku Ketua Menteri dengan harapan agar kami dapat meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat yang kami wakili.
“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan memohon kemaafan pada presiden, rakan-rakan dan penyokong parti,” kata Norazlinah yang turut mewakili dua ADUN lain bagi memaklumkan perkara terbabit dalam satu video tular, hari ini.
Berikutan itu, ketiga-tiga ADUN tersebut juga memaklumkan seiring dengan keputusan itu, merekmelepaskan semua jawatan dalam parti sama ada diperingkat bahagian atau di peringkat Ahli Majlis Tertinggi (AMT).
“Kami berpandangan bahawa sudah tiba masanya polemik dan juga sebarang tindakan untuk mewujudkan ketidakstabilan kerajaan perlu dihentikan,” jelas dalam video terbabit.