RANAU, SABAH – Lima buah rumah di Kampung Lembah Permai di Kundasang, sini, mula merekah pada dinding, lantai dan bumbung kerana pergerakan tanah.
Meskipun hasil pemeriksaan anggota bomba Ranau pada pagi Isnin kelmarin mendapati bahawa ianya tidak selamat diduduki, terdapat penduduk kampung tetap berkeras kepala.
Ketua Balai BBP Ranau, PPGB Ridwan Mohd Taib berkata alasan mereka ialah tiada penampatan lain.
“Kesan besar pergerakan tanah dapat dilihat secara ketara di bahagian hilir kampung berkenaan.
“Menurut penduduk, mereka sering terdengar bunyi seperti objek yang terputus atau patah.
“Antara kesan pergerakan tanah di bahagian hilir, terbentuknya kolam takungan air,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Beliau berkata Jabatan Mineral dan Geosains dan Pegawai Daerah menegaskan bahawa penduduk perlu berpindah kerana berhadapan risiko tinggi insiden tidak diingini.
“Bagi menangani ini, pihak bomba akan mengeluarkan surat pengesahan kejadian bencana alam bagi penduduk yang terlibat dengan syarat perlu ada surat pengesahan Ketua Kampung atau Pengerusi JPKK,” katanya.






