KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Sabah menahan seorang lagi suspek dipercayai terlibat dalam kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan kerja-kerja pembersihan bernilai kira-kira RM500,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan seorang penjawat awam dan juga pengarah syarikat kontraktor disyaki bersubahat dengan seorang lagi suspek lelaki yang merupakan pengarah syarikat pembinaan dan telah ditahan pada Isnin lalu.
“Kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan kontrak kerja-kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini berjumlah kira-kira RM500,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.






