Tuntutan 40 Peratus Sabah Dipercepat, Kerajaan Perkukuh Formula Penyelesaian – Mustapha

Tuntutan 40 Peratus Sabah Dipercepat, Kerajaan Perkukuh Formula Penyelesaian – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Usaha mempercepat penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah terus diperkukuh apabila kerajaan memberi tumpuan kepada pemantapan formula penyelesaian secara berperingkat yang dipersetujui bersama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata, langkah itu dizahirkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan berhubung Kajian Semula Pemberian Khas kepada Negeri Sabah yang dipengerusikannya.

Mesyuarat itu katanya, sebagai kesinambungan pertemuan bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Johan Mahmood Merican sebelum ini.

Menurutnya, mesyuarat tersebut turut melibatkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Kewangan Sabah, Kementerian Kewangan Malaysia serta Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Gan, bagi menyelaras pendekatan terbaik dalam menyelesaikan tuntutan berkenaan.

Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada usaha memperkemas dan mempercepat kaedah penyelesaian secara berperingkat yang perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak, selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan prinsip keadilan kepada Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Mustapha menegaskan bahawa keputusan “stay of execution” tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghentikan usaha menegakkan keadilan, sebaliknya dilihat sebagai ruang untuk memperkukuh serta memperhalusi formula penyelesaian.

“Kita tegaskan bahawa ‘stay of execution’ bukan alasan untuk berhenti menegakkan keadilan. Ia adalah ruang untuk memastikan formula terbaik dapat dicapai bagi menyelesaikan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI, isu berkenaan kini diberikan keutamaan dengan kesungguhan politik yang jelas serta pendekatan lebih konstruktif.

Dalam pada itu, beliau berkata akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan proses rundingan berjalan lancar, selain menyalurkan perkembangan semasa dari masa ke masa.