Bung Menteri Kerja Raya Selama Dua Tahun Tetapi Tidak Mampu Selesaikan Masalah...

Bung Menteri Kerja Raya Selama Dua Tahun Tetapi Tidak Mampu Selesaikan Masalah – Zulkarnain

0
SHARE
Zulkarnain
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar (Sumber Foto: Ihsan G57)

KOTA KINABALU, SABAH – Pernah menjadi Menteri Kerja Raya Sabah selama dua tahun tetapi Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah jalan raya, air mahupun elektrik.

Demikian kata Pengerusi Pergerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar terhadap Presiden UMNO Sabah tersebut yang memperkecilkan usaha kerajaan membangunkan Sabah melalui hala tuju Sabah Maju Jaya.

Bung mengkritik Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dengan berkata pembinaan papan tanda Sabah Maju Jaya tidak akan mengubah kehidupan rakyat di negeri ini.

“Pertama sekali G57 ingin menyatakan Bung sebenarnya seorang pemimpin yang dangkal dan didominasi oleh sindrom lupa.

“Sedarkah anda semasa program perancangan pembangunan Sabah Maju Jaya dirancang dan dilancarkan, Bung merupakan salah seorang menteri kabinet Sabah malah pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri.

“Jika Bung tidak berpuas hati dengan program hala tuju Sabah Maju Jaya, kenapa program itu tidak dibantah sejak awal ketika beliau masih dalam kabinet?

“Lebih memeranjatkan, selepas disingkirkan daripada jawatan menteri, Bung dilihat merayau-rayau tidak menentu.

“Amat malang apabila sindrom penafian dan kekurangan kebijaksanaan mula menular kepada hampir semua pemimpin UMNO Sabah yang menyokong Presiden Parti Warisan Datuk Seri Shafie Apdal,” kata Zulkarnain.

Zulkarnain menjelaskan, fasa pertama Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang bermula pada 2021 dan akan berakhir pada 2025 berpaksikan tiga teras utama iaitu Sektor Pertanian, Industri dan Pelancongan.

“Perkataan Sabah Maju Jaya ialah nama rasmi jata negeri Sabah yang mula diperkenalkan secara rasmi pada 16 September 1988.

“Tujuan kerajaan terdahulu menggunakan nama Sabah Maju Jaya sebagai jata negeri Sabah adalah untuk menjadikan Sabah sebuah negeri yang makmur.

“Datuk Seri Hajiji selepas menyandang jawatan Ketua Menteri Sabah telah meletakkan semula jata dengan tujuan menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat Sabah untuk berdaya saing dan memajukan diri, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah, selaras dengan moto.

“Masih terlalu awal untuk menilai kejayaan program hala tuju Sabah Maju Jaya tetapi rekod jelas menunjukkan kerajaan negeri Sabah berjaya membawa masuk pelabur asing membina kilang bernilai hampir 10 bilion ringgit.

“G57 percaya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang apabila kerajaan GRS diberi mandat berterusan oleh rakyat Sabah, masalah utama pengangguran termasuk jalan raya, air dan elektrik akan dapat diatasi sepenuhnya,” tegas Zulkarnain.