Pembangkang Main Isu Kemisikinan Untuk Meraih Populariti Tapi Jatuhkan KDNK Ketika Memerintah...

Pembangkang Main Isu Kemisikinan Untuk Meraih Populariti Tapi Jatuhkan KDNK Ketika Memerintah – Azizah

0
SHARE
Azizah
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Azizah Mohd Dun ( Sumber Foto: Ihsan Wanita GRS )

KOTA KINABALU, SABAH – Pembangkang Sabah hanya cuba memainkan isu kemiskinan semata-mata untuk meraih populariti politik kata Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata Parti Warisan terutamanya nampak sengaja tidak mengambil tahu tentang pencapaian kerajaan negeri.

“Mereka menyentuh isu kemiskinan tegar, mengatakan kami menafikan data Persekutuan untuk mengelirukan rakyat. Tetapi hakikatnya mereka tidak tahu apa-apa.

“Kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor tidak membuat bising sebaliknya bekerja dalam diam dengan isu kemiskinan menjadi antara fokus utama,” Azizah berkata.

Beliau berkata kerajaan negeri juga kini sedang melaksanakan pemutihan data Ketua Isi Rumah (KIR) selaras dengan komitmen kita untuk membasmi kemiskinan di negeri ini.

Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) juga telah diberi tanggungjawab untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar dengan melaksanakan usaha dan pelbagai inisiatif ke arah itu.

“Kami tidak menafikan data tetapi memandangkan proses sedang dijalankan, sudah pasti jumlahnya tidak lagi sama.

“Berdasarkan data pemutihan yang dijalankan Pejabat Pembangunan Sabah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU, JPM), jumlah ketua isi rumah miskin tegar ialah 13,179 setakat Mac 2024.

“Jumlah itu menurun berbanding jumlah 22,510 pada 2023. Pada masa ini, pemutihan masih berterusan di seluruh negara.

“Usaha kita tidak akan berhenti sehingga kita mampu membasmi kemiskinan. Isu tersebut merupakan warisan yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu. Inilah realiti dan perlu diterima.

“Justeru, pembasmian kemiskinan tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata. Atas sebab itu, usaha itu sentiasa dan akan terus menjadi perjuangan yang diutamakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Azizah turut berharap Ketua Wanita Parti Warisan, Norfaizah Chua berhenti mengelirukan rakyat dengan diri mereka sendiri.

“Cuba lihat apa yang Warisan lakukan ketika memerintah dari 2018 hingga 2020. Apa yang mereka lakukan untuk menangani kemiskinan?

“Malah, perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jelas menunjukkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah menurun semasa pentadbiran Warisan daripada 1.5 peratus pada 2018 kepada -9.1 peratus pada 2020.

“Bagaimanapun, KDNK meningkat daripada 1.5 peratus pada 2021 kepada 3.7 peratus pada 2022 di bawah kerajaan GRS.

“Oleh itu, ini jelas menunjukkan bahawa kadar pembangunan telah meningkat sejak GRS mengambil alih kerajaan,” tegasnya.