KOTA KINABALU: UMNO di kawasan bandar perlu memperkukuhkan peranannya sebagai wadah khidmat kepada masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti politik serta persiapan menghadapi pilihan raya.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, landskap masyarakat bandar yang semakin kompleks menuntut pendekatan lebih menyeluruh bagi menangani pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup, perumahan, pekerjaan, pendidikan dan peluang ekonomi.
“Parti mesti memahami realiti kehidupan masyarakat bandar dan menyesuaikan pendekatan kita dengan perubahan yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Kinabalu di Grand InHotel, di sini, baru-baru ini.
Menurut bekas Ketua Menteri itu, UMNO juga perlu memberi perhatian kepada usaha memperkukuh kedudukan Bumiputera dalam pembangunan ekonomi bandar agar mereka bukan sahaja mampu menetap di bandar, malah memiliki kediaman, membangunkan perniagaan, menceburi bidang profesional serta memainkan peranan lebih aktif dalam sektor ekonomi.
Beliau berkata UMNO Bahagian berupaya menjadi penghubung yang berkesan antara masyarakat dengan kerajaan serta agensi berkaitan, khususnya dalam menyalurkan maklumat, latihan, pembiayaan dan peluang pendidikan, pekerjaan serta keusahawanan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendekatan terhadap golongan muda bandar perlu diperkasakan dengan membuka lebih banyak ruang kepada profesional muda, graduan, usahawan dan pekerja dalam sektor baharu untuk menyumbang idea serta memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat.
Salleh turut mengingatkan bahawa khidmat bakti UMNO di Kota Kinabalu perlu dilaksanakan secara inklusif sejajar dengan kedudukan bandar raya itu sebagai masyarakat yang berbilang kaum dan latar belakang.
“Kekuatan sesebuah bahagian bukan hanya diukur daripada jumlah ahli atau banyaknya kegiatan politik. Ia juga harus diukur daripada berapa ramai yang kita bantu dan berapa banyak masalah masyarakat yang dapat kita selesaikan.
“Politik bandar mesti berasaskan khidmat. Kalau kita mahu masyarakat bersama kita, kita mesti terlebih dahulu menunjukkan bahawa kita sentiasa bersama mereka,” katanya.






