Sabah Tampil Dalam Kabinet MADANI, Mustapha dan Arthur Kini Menteri Penuh

Sabah Tampil Dalam Kabinet MADANI, Mustapha dan Arthur Kini Menteri Penuh

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Dalam rombakan Kabinet MADANI hari ini, enam timbalan menteri dinaikkan pangkat dan seorang muka baharu dilantik sebagai menteri penuh.

Sorotan utama untuk Sabah, Datuk Mustapha Sakmud yang sebelum ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, kini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup turut dinaikkan pangkat menjadi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, manakala Datuk Chan Foong Hin mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah ini menegaskan peranan penting rakyat Sabah dalam pentadbiran persekutuan.

Dr Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan menggantikan Hannah Yeoh, manakala Akmal Nasrullah Mohd Nasir menggalas tugas sebagai Menteri Ekonomi.

Anwar menegaskan rombakan ini perlu bagi mengisi kekosongan dan memastikan Kabinet berfungsi sebagai satu pasukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi serta menangani kebimbangan rakyat.