KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengadakan perbincangan bagi menentukan sama ada gabungan itu akan menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) serentak bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang dijadualkan pada 24 Januari depan.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan berhubung penyertaan GRS bagi kedua-dua kerusi berkenaan masih dalam perbincangan.
“Itulah yang kita akan bincangkan. Belum dapat dipastikan lagi, tetapi prinsipnya kita akan beri laluan,” katanya.
Beliau menegaskan, sebarang keputusan akhir akan dibuat berdasarkan rundingan dan persetujuan semua pihak demi kepentingan rakyat serta kestabilan pentadbiran negeri.
“Setakat ini, kemungkinan besar kita tidak akan bertanding. Kita akan memberi penghormatan dan laluan kepada parti yang menang, kebetulan mereka juga sebahagian daripada Kerajaan Negeri sekarang.
“Kita bersedia memberi laluan dan membantu rakan parti supaya mereka dapat memenangi pilihan raya kecil tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Bagaimanapun, Hajiji berkata keputusan muktamad masih belum dibuat kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dibincangkan dalam gabungan itu.
“Nanti saya akan berbincang dengan Presiden UMNO dan juga Pengerusi Barisan Nasional,” katanya mengenai rundingan lanjut berhubung PRK berkenaan.
Kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag berlaku susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia baru-baru ini.






