PETALING JAYA, SELANGOR – Sebanyak 665 kes melibatkan kegiatan berkaitan wang palsu telah dilaporkan pada tahun lalu, lapor Kosmo!.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata ia merupakan penurunan sebanyak 65 peratus (65%) berbanding 1,400 kes pada tahun 2020.
Kesalahan itu termaktub di bawah Seksyen 489A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan memalsukan wang, Seksyen 489B kanun sama (menggunakan wang palsu) dan Seksyen 489C kanun sama (menyimpan wang palsu).
“Penggunaan wang palsu tidak menunjukkan trend yang membimbangkan…
“Berdasarkan statistik, kes wang palsu telah mencatatkan penurunan yang mendadak sebanyak 65 peratus,” katanya.
Menurut Kamarudin, satu unit berkaitan wang palsu telah lama ditubuhkan bagi memantau serta mengekang kegiatan jenayah itu daripada terus berleluasa.
Selain isu berkaitan wang palsu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membuat pemantauan ke atas jenayah-jenayah lain di platform dalam talian.
“PDRM juga sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Cyber Security Malaysia bagi mengesan sebarang kandungan yang berunsur jenayah atau berbahaya…
“Masyarakat diingatkan agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan berkaitan wang palsu sama ada mencetak, memiliki atau menggunakannya,” ujar beliau.





