Ghazali Seru Rakyat Semarak Jiwa Merdeka, Kibarkan Jalur Gemilang

Ghazali Seru Rakyat Semarak Jiwa Merdeka, Kibarkan Jalur Gemilang

0
SHARE

TUARAN: Rakyat diseru terus menyemarakkan jiwa merdeka dan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kecintaan, penghargaan serta kesetiaan kepada negara.

Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Mohammed Ghazali Hajiji berkata, semangat kemerdekaan perlu terus dipelihara dalam sanubari setiap rakyat bagi memastikan keamanan, perpaduan dan kedaulatan negara terus dipertahankan.

Beliau berkata, kemerdekaan yang dinikmati hari ini merupakan hasil pengorbanan dan keberanian pejuang terdahulu, justeru menjadi tanggungjawab generasi masa kini untuk mengisinya dengan pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan yang dapat dinikmati seluruh rakyat.

Semangat dan jiwa merdeka perlu terus disemai dalam sanubari setiap rakyat supaya negara kekal aman, bersatu padu dan berdaulat untuk diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 di Arena Futsal Centre, Tuaran, pada Ahad.

Ghazali turut mengajak masyarakat menyahut inisiatif ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ dengan mengibarkan bendera kebangsaan di kediaman masing-masing sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.

Menurutnya, kibaran Jalur Gemilang bukan sahaja mampu memeriahkan sambutan kemerdekaan, malah menjadi wadah memperkukuh ikatan serta semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Program berkenaan turut melibatkan Pengarah Penerangan Sabah, Puan Jainisah Mohd Noor yang juga Ketua Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Negeri Sabah 2026.

Antara pengisian program ialah Zumba Komuniti, pemasangan Jalur Gemilang, Jualan Rahmah, pameran agensi, pemeriksaan kesihatan, Sembang Warung, nyanyian lagu Negaraku, ikrar Rukun Negara serta penyerahan Jalur Gemilang kepada rakan strategik.

Program turut dimeriahkan dengan acara pelepasan atau flag off KMJG, persembahan PENTARAMA dan Kopitiam Cup Edisi Merdeka.

Penganjuran KMJG 2026 itu sekali gus menjadi platform mendekatkan masyarakat dengan penghayatan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta menyemarakkan sambutan kemerdekaan di peringkat akar umbi.