Shafie Sahkan Ada Perbincangan Warisan, Star, PKDM Hadapi PRU

Shafie Sahkan Ada Perbincangan Warisan, Star, PKDM Hadapi PRU

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Warisan mengesahkan sedang mengadakan perbincangan awal dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, rundingan itu masih belum dimuktamadkan dan berada di peringkat awal.

Beliau berkata, antara perkara yang disentuh termasuk kemungkinan kerjasama dalam kalangan parti tempatan serta kedudukan Sabah dalam konteks hubungan dengan Sarawak.

Shafie turut merujuk kepada idea Blok Borneo, dengan menyatakan Sabah dan Sarawak mempunyai kepentingan bersama, termasuk berkaitan pelaksanaan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, perkara berkaitan MA63 serta Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati, termasuk kuasa imigresen dan kedudukan kedua-dua negeri.

Beliau juga menarik perhatian kepada komposisi kerusi Parlimen, dengan Sabah dan Sarawak mempunyai 56 daripada 222 kerusi, berbanding 166 di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan bentuk kerjasama yang sedang dibincangkan, termasuk sebarang kemungkinan pengagihan kerusi.