KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Kalansanan, Inanam, di sini, sejak Sabtu lalu.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam kenyataan memaklumkan remaja berkenaan dikenali sebagai Asnorawati Abdul San, berbangsa Ubian dan beralamat di Kampung Kalansanan.
Menurut kenyataan itu, Asnorawati dilaporkan keluar dari rumah kira-kira jam 4 petang pada 8 Ogos lalu dan sehingga kini masih belum ditemui.
“Remaja berkenaan kali terakhir dilihat bapanya kira-kira jam 12.30 tengah hari pada hari sama sebelum bapanya keluar bekerja.
“Usaha mencarinya di sekitar Kampung Kalansanan, Inanam serta rumah rakan-rakannya telah dilakukan, namun masih gagal mengesan keberadaannya.
“Asnorawati mempunyai ciri-ciri fizikal berkulit hitam manis, wajah berbentuk bulat, kening tebal dan rambut hitam paras bahu serta kali terakhir dilihat memakai tudung,” jelas IPD KK dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan remaja berkenaan diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau SM Rosmah Pg Hashim di talian 011-31677612.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.






