KENINGAU: Dua mangsa sempat menyelamatkan diri sebelum sebuah rumah kedai jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Patikang, Kampung Perkaya, di sini, malam Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu, kedua-dua mangsa dilaporkan berjaya keluar dari premis berkenaan sebelum ketibaan pasukan bomba, sekali gus mengelakkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, sepasukan 10 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999.
“Setibanya di lokasi pada jam 8.21 malam, pasukan mendapati sebuah rumah kedai jenis tidak kekal berukuran 60 x 60 kaki telah terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada jentera bomba serta water tanker,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9 malam sebelum dipadam sepenuhnya sejam kemudian.
Katanya, selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan dan dipastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 10 malam.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Norhasrita Abdul Manan dengan kekuatan 10 anggota BBP Keningau membabitkan sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah Water Tanker.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.






