LAHAD DATU: Seorang pemandu lori cedera selepas lori tangki membawa muatan petrol milik syarikat Petronas terbabas dan terbalik ke dalam parit di Jalan Sabahan, menghala ke Tawau pada pagi Khamis.
Dalam kejadian sekitar jam 9.03 pagi itu, lori berkenaan dilaporkan membawa 10,000 liter minyak petrol sebelum hilang kawalan lalu terjatuh ke dalam parit.
Mangsa, seorang lelaki berusia 39 tahun, ditemui dalam keadaan sedar namun mengalami kecederaan dan diberi rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 35 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati terdapat tumpahan minyak dari lori tangki.
“Unit operasi terus membuat zon keselamatan dalam radius 100 kaki dan mengaktifkan semburan buih ke atas keseluruhan lori bagi mengelak sebarang pencucuhan api.
“Pemeriksaan lanjut mendapati minyak yang bocor telah mula mengalir ke arah kolam berhampiran.
“Bagi mengelak pencemaran lebih serius, jentera berat seperti backhoe dan excavator milik kontraktor Pan Borneo digunakan untuk menghalang aliran minyak memasuki sungai kecil serta menstabilkan kedudukan lori,” katanya.
Selepas keadaan dikawal, operasi diserahkan kepada syarikat pemilik lori untuk tindakan lanjut.






