Pendapatan SMJ Energy Cecah RM1.9 Bilion dari PSC Samarang

Pendapatan SMJ Energy Cecah RM1.9 Bilion dari PSC Samarang

0
SHARE

KOTA KINABALU: SMJ Energy hari ini mengumumkan kejayaan jualan ke-10 minyak mentah di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang, yang menjana hasil dianggarkan sebanyak RM94 juta.

Transaksi terkini ini mengukuhkan lagi komitmen syarikat dalam menjana nilai jangka panjang dan mampan menerusi operasinya.

Sejak memperoleh 50 peratus kepentingan dalam PSC Samarang pada 31 Mei 2023, prestasi SMJ Energy di pasaran terus menunjukkan hasil memberangsangkan.

Secara kumulatif, syarikat itu telah menjana anggaran hasil sebanyak RM1.9 bilion sehingga kini, termasuk RM397 juta sejak awal 2025 melalui penjualan strategik minyak mentah dan gas dari PSC Samarang.

PSC Samarang yang terletak di luar pesisir Sabah dijangka terus menjadi sumber pendapatan utama dan berterusan kepada SMJ Energy.

PSC ini juga membekalkan gas kepada Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) serta tiga loji janakuasa gas di dalam dan sekitar Kota Kinabalu.

Jualan minyak mentah dari PSC Samarang mengukuhkan kedudukan SMJ Energy sebagai pemain utama dalam sektor tenaga Sabah.

Operasi syarikat ini juga menyokong matlamat Kerajaan Negeri Sabah dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh pembangunan kandungan tempatan, serta memacu masa depan tenaga mampan.