PENAMPANG: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian N.25 Kapayan dilihat mempunyai satu struktur kepimpinan yang sepakat dan teguh bekerjasama dalam melaksanakan agenda parti.
Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Sabah, Emmie Datuk Martin Idang yang menyatakan hal itu berkata, kemampuan ketiga-tiga sayap parti, iaitu Wanita, Pemuda dan Beliawanis dalam merangka dan melaksana program-program secara bersama adalah sangat baik dan perlu diteladani oleh Bahagian lain.
“Sejujurnya, saya merasakan kesepakatan dan kesepaduan ini hadirnya daripada pimpinan yang baik dan bersatu padu.
“Saya juga ingin menyeru agar semangat kesepaduan ini dapat diterjemahkan dalam memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden parti kita merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Sayap-Sayap Gagasan Rakyat Kapayan 2024 di sini pada Sabtu.
Tambah Emmie, semua ahli parti perlu bersedia mempertahankan setiap tindakan dan keputusan yang diambil oleh parti mahu pun kerajaan negeri.
“Ini kerana, setiap keputusan dan tindakan yang dibuat adalah dibuat secara kolektif setelah mengambil pandangan dan buah fikiran semua pihak selain kita perlu yakin dengan kebijaksanaan Presiden dalam membawa hala tuju dan kejayaan parti,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang, Emmie berkata, ilmu pengetahuan adalah bekal terpenting dalam persediaan menghadapi PRN kelak.
“Ketiga-tiga sayap ini merupakan wakil kepasa pimpinan tertinggi parti dan negeri. Jadi bagaimana kita selaku wakil pimpinan parti dan negeri untuk menyebar luaskan inisiatif dan pencapaian parti dan negeri jika kita sendiri tidak jelas atau mahir mengenainya.
“Oleh itu, saya menyeru kepada pimpinan di Bahagian dan cawangan untuk ketiga-tiga sayap ini lebih giat untuk memberikan pendedahan kepada kalangan ahli-ahli, pastikan setiap daripada mereka mendapat maklumat yang tepat dan padat mengenai apa yang pihak pimpinan pusat dan kerajaan negeri laksanakan demi kepentingan dan kebajikan rakyat.
“Antaranya usaha Kerajaan untuk menyediakan rumah SMJ untuk rakyat miskin, usaha kerajaan dalam memastikan infrastruktur asas seperti air dan elektrik dapat dinikmati oleh rakyat serta dasar-dasar kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan.
“Melalui ilmu pengetahuan inilah nanti yang akan memberikan perlindungan daripada segala tohmahan dan fitnah yang dibuat oleh pihak pembangkang,” jelasnya.
Turut hadir sama dalam perasmian itu adalah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kapayan merangkap Timbalan Setiausaha Agung parti, Datuk Dr. Stephen Jacob Jimbangan bersama pimpinan tertinggi Bahagian Kapayan.