KUDAT: Agihan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) sebaiknya dibincang secara dalaman menerusi semangat kekeluargaan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tidak dibuat secara terbuka.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, sebarang tuntutan kerusi parti-parti komponen GRS wajar dibuat secara tertutup bagi mengelak rakyat terbawa-bawa dengan politik melampau.
“Bukan kah kita dalam satu keluarga besar, lebih teliti jika ia dibincang di peringkat tertinggi GRS,” katanya di temui pemberita sejurus merasmikan Mesyuarat Agung Gagasan Rakyat Bahagian Tanjung Kapor, semalam.
Gagasan Rakyat Bahagian Tanjung Kapor di ketuai oleh Wakil Rakyat kawasan itu, Chong Chen Bin @ Ben Chong.
Beliau ditanya berhubung isu tuntutan parti-parti dalam GRS dan Pakatan Harapan (PH) di media tempatan yang mahukan tambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi.
Minggu lalu, Presiden Parti Maju Sabah, Datuk Yong Teck Lee mencadangkan supaya GRS bertanding di semua kerusi DUN di Sabah.
Masiung berkata, di peringkat dalaman Gagasan Rakyat sendiri setakat ini belum dibincang mengenai perkara itu.
Isu agihan kerusi menghangatkan lagi polemik mengenai persiapan GRS dan PH menghadapi PRN yang mesti diadakan selewat-lewatnya akhir tahun depan.
Beliau mahukan, pemimpin parti dalam GRS dan PH di peringkat negeri Sabah tidak memberi kenyataan secara terbuka perhubung agihan kerusi, kerana ia boleh mengeruhkan hubungan baik dalam gabungan.
“Biarlah kita serahkan kepada pemimpin utama GRS dan PH untuk membincangkan perkara itu, janganlah pemimpin peringkat akar umbi membuat andaian, nanti ia boleh mengundang salah faham,” katanya.
Lebih 1,000 perwakilan termasuk wakil pemimpin dalam GRS dan PH hadir pada majlis itu yang diadakan di Dewan Lembaga Perbandaran Kudat.