PETALING JAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mencipta sejarah apabila muncul mewakili negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNGA) Ke-77 sebagai pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan diplomatik terbesar itu.
Beliau yang tampil segak berbaju Melayu hitam mencuri tumpuan delegasi lain sebaik melangkah masuk ke dewan utama, manakala seluruh delegasi negara termasuk Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut memakai baju kebangsaan dan batik Malaysia.
Dalam ucapan beliau, Negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa untuk mewujudkan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa dalam menghadapi cengkaman inflasi yang melanda dunia selain isu ekonomi.
Katanya, kerjasama dan penyelarasan antara negara perlu dipertingkatkan berikutan dasar dan keputusan sesetengah negara mampu memberi kesan kepada negara lain…
Tambah beliau, keputusan dasar monetari domestik perlu diselaraskan dengan mengambil kira realiti serta keperluan negara-negara membangun.
“Dalam struktur kewangan dan monetari antarabangsa yang masih didominasi oleh beberapa kuasa besar, serta dalam keadaan pemulihan ekonomi dunia, keputusan dasar monetari domestik perlu diselaraskan,” katanya.
Perdana Menteri mengakhiri ucapan berdurasi 20 minit itu dengan ayat “United we stand, divided we fall”, selagi kita bersatu padu dan teguh bersama dalam memikul beban ini, saya pasti kita akan berjaya”