KOTA KINABALU: Sistem bas moden Kota Kinabalu semakin hampir direalisasikan dengan ketibaan tiga bas merah jambu di Pelabuhan Sepanggar.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah merangkap Menteri Penyelaras Pengangkutan Awam KK, Phoong Jin Zhe berkata, percubaan dijangka bermula September atau Oktober ini selepas operator melengkapkan proses pengambilan kakitangan, latihan pemandu serta perancangan laluan.
“Sebanyak 48 bas akan ditempatkan secara berperingkat di bawah Program SBST, dengan operasi penuh dijangka selepas Tahun Baharu Cina 2026,” katanya.
Beliau menambah bas dilengkapi pendingin hawa, CCTV, GPS serta sistem tiket elektronik tanpa tunai dengan tujuh kaedah pembayaran.
Perkhidmatan akan beroperasi mengikut jadual tetap, meliputi lapan laluan dan 143 hentian, berpusat di Terminal KK Sentral.
“Ini impian saya sejak mula menjadi wakil rakyat. Melihat bas-bas ini akhirnya tiba hari ini amat mengharukan.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke kerana merealisasikan harapan warga Kota Kinabalu,” kata Phoong.
Beliau menegaskan program ini bakal meningkatkan kualiti hidup rakyat, mengurangkan kesesakan dan memperkukuh imej bandar raya sebagai destinasi pelancongan.






