1 Parah, 10 Cedera dalam Kemalangan 4 Kenderaan di Jalan Tamparuli-Ranau

1 Parah, 10 Cedera dalam Kemalangan 4 Kenderaan di Jalan Tamparuli-Ranau

0
SHARE

TAMPARULI: Seorang lelaki berusia 35 tahun parah manakala 10 lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Tamparuli-Ranau berhampiran Kg Minangkop pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, dua Toyota Hilux Vigo, sebuah Toyota Vios dan sebuah Suzuki Jimny dipercayai bertembung menyebabkan semua pemandu dan penumpang mengalami kecederaan.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, pemandu Toyota Vios berusia 35 tahun tersepit di tempat duduk dan mengambil masa untuk dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan.

“Mangsa tersebut cedera parah, manakala 10 lagi mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

“Kesemua mangsa dihantar ke hospital selepas diberi rawatan awal oleh pasukan bomba, KKM dan APM,” katanya.

Antara mangsa cedera ringan ialah seorang lelaki berusia 30 tahun dan wanita 31 tahun yang menaiki Toyota Hilux, seorang pemandu Suzuki Jimny berusia 65 tahun, serta lima lelaki masing-masing berusia 23 tahun yang menaiki sebuah lagi Hilux Vigo.

Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun serta ibunya berusia 32 tahun turut cedera ringan dalam kejadian itu.

Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan EMRS dikerahkan ke lokasi bersama bantuan PDRM, KKM dan APM.

Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 3.30 petang dan tamat 12 minit kemudian.