PDRM Sabah Tumpaskan Empat Kumpulan Sindiket

PDRM Sabah Tumpaskan Empat Kumpulan Sindiket

0
SHARE
Jauteh
Jauteh (tiga dari kiri) semasa menghadiri Hari Polis ke-217 bersama dengan Shahurinain (dua dari kiri) dan Zain (kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah melalui Jabatan Siasatan Jenayah berjaya menumpaskan empat kumpulan bersindiket dalam Op Pintu dilancarkan awal Februari lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kumpulan bersindiket yang dikenali sebagai Kumpulan Arrinoh, Kumpulan Gurun, Kumpulan Rizal dan Kumpulan Yogi itu dipercayai terlibat dalam kegiatan kes pecah rumah.

“Seramai 12 orang individu telah ditangkap terdiri daripada 10 orang lelaki dan dua wanita termasuklah individu yang bertindak sebagai pembeli barang-barang hasil kegiatan jenayah tersebut.

“Dengan tertangkapnya kumpulan-kumpulan ini, sebanyak 14 kes pecah rumah dan peti besi berjaya diselesaikan yang melibatkan kerugian mencecah hampir RM1,361,300 juta.

“Tangkapan yang terlibat disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara 14 tahun dan denda atau sebat.

“Siasatan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen dan juga Seksyen 15(1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 juga diambil terhadap tangkapan yang tidak memiliki dokumen yang sah dan juga kesalahan dadah,” katanya semasa mengadakan Sidang Media sempena Majlis Sambutan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 yang diadakan di auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kes jenayah indeks meningkat bagi tahun ini sebanyak 23.34 peratus ataupun 782 kes berbanding 634 kes pada tahun lepas.

“Walau bagaimanapun, penyelesaian kes masih tinggi iaitu sebanyak 511 kes yang telah diselesaikan daripada jumlah 782 kes iaitu bersamaan dengan 65.35 peratus.

“Jenayah pecah rumah dan peti besi ini berlaku di beberapa daerah seperti Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Sandakan, Kota Marudu dan beberapa daerah lain telah menjadi tumpuan pihak Jabatan Siasatan Jenayah memandangkan kes ini menyumbang hampir 34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes indeks.

“Perangkaan yang direkodkan bagi jenayah pecah rumah di negeri ini sebanyak 262 kes bagi tempoh Januari hingga Februari 2024 berbanding kes pada tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak 34 kes bersamaan 12.97 peratus,” katanya lagi.

Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian Sijil Penghargaan kepada Pegawai, Anggota Pangkat Rendah (APR), Pegawai Awam, ahli PERKEP dan pihak media.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais, Ketua Cawangan Khas Sabah, Datuk Salleh Yahya dan Ketua Jabatan Pengurusan Sabah, Senior Asisten Komisioner Nik Md Zain Nik Omar. — JABATAN PENERANGAN SABAH