MUIS Kutip Lebih RM16 Juta Zakat

MUIS Kutip Lebih RM16 Juta Zakat

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar (lima kanan) menyaksikan penyerahan zakat perniagaan Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd kepada MUIS ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi Bahagian Zakat dan Fitrah mengutip lebih RM16 juta setakat 25 Mac tahun ini.

Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin berkata sebanyak RM16,229,81.93 zakat terkumpul dengan penggajian menjadi penyumbang terbesar sebanyak RM11,105,716.63 bersamaan 68.43 peratus jumlah pungutan zakat.

“Selain itu, zakat pendapatan menyumbang RM1,991,428.09 (12.27 peratus), zakat simpanan sebanyak RM 1,888,853.12 (11.64 peratus ), zakat perniagaan RM 960,185.87 (5.92 peratus ) dan zakat emas serta perak sebanyak RM 219,123.50 (1.35 peratus).

“Manakala, bagi zakat saham adalah sebanyak RM 46,898.51 (0.29 peratus) , pertanian RM 12,040.21 (0.07 peratus) dan zakat ternakan sebanyak RM5,636.

“Saya berharap akan lebih ramai individu persendirian dan syarikat tampil berusaha membayar zakat pada tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Tahun 2023 Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd kepada MUIS yang disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Sementara itu, Pengerusi Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd, Ahmad Rizal Dahli berkata pihaknya bersyukur dapat meneruskan tanggungjawab menyampaikan zakat kepada MUIS dan berharap akan dapat terus menyumbang kepada masyarakat di negeri ini.

“Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM 804,807 untuk tahun semasa (haul 2023) dan mudah-mudahan dapat menyumbang lebih pada tahun akan datang,” ujarnya.

Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi MUIS, Datuk Dr Sairin Karno dan Datuk Mohd. Dandan @ Ame Alidin, Pengarah Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd, Assan Nasip serta Penasihat Pengarah Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd, Nazaruddin Abdul Rahim. — JABATAN PENERANGAN SABAH