PENAMPANG: Seorang lelaki warga asing maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Bundusan, di sini, kira-kira jam 7.30 malam, pada 29 Disember lalu.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dalam satu kenyataan media memaklumkan, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta yang dalam perjalanan menghala ke TOWERING melalui Jalan Bundusan dipercayai hilang kawalan ketika dipandu dalam keadaan hujan lebat.
Menurut kenyataan itu, kenderaan berkenaan terbabas sebelum melanggar sebuah motosikal yang berada berhampiran lokasi kejadian.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal, seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” menurut kenyataan berkenaan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Dalam pada itu, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladon di talian 019-8095133 bagi membantu siasatan.
Pihak polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi had laju dan peka terhadap keadaan cuaca, khususnya ketika hujan dan pada waktu malam, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.






